Hypernaked ‘brutal’ QJMOTOR SRK 921 bakal hadir ke pameran MForce Motorshow 2026

QJMOTOR SRK 921

QJMOTOR China menyusun satu barisan produk menarik untuk majlis pelancaran oleh MForce Bike Holdings (MForce) sempena lawatan ke ibu pejabat mereka (QJMOTOR) di bandar Taizhou, wilayah Zhejiang baru-baru ini.

Antara model yang dilancarkan ialah dua sportbike 4-silinder sebaris iaitu SRK 250 RD dan SRK 450 RR serta siri skuter ATX 250 dan ATX 250 X. Tapi ada satu model naked bike diselit di antara barisan produk ini.

QJMOTOR SRK 921

Model ini ialah jentera QJMOTOR SRK 921, bukan sebuah sportbike tetapi motosikal yang tergolong dalam kategori naked bike. Tiada pengumuman harga dibuat tetapi model ini sudah ada dalam senarai untuk dibawa ke acara MForce Motorshow 2026.

Ada laporan mengatakan QJMOTOR menyuntik DNA kejuruteraan yang diperoleh MV Agusta untuk menjayakan penghasilan SRK 921.

Khabarnya, ada kaitan dengan model Brutale dan F4. Tak salah pun sebab QJMOTOR sebenarnya sudah ada lesen dan kerjasama strategik bersama MV Agusta untuk tujuan itu (sebelum Pierer Mobility-KTM ambil alih saham).

QJMOTOR SRK 921

Tak perlu ulas panjang mengenai MV Agusta kerana ramai tahu ada macam-macam pihak pernah pegang, jaga dan cuba bangunkan jenama ini sehingga hari ini.

Kembali ke QJMOTOR SRK 921, jentera naked ini dilihat sebagai model baharu yang akan bersaing dengan beberapa model popular seperti Yamaha MT-09, Triumph Street Triple, Suzuki GSX-8S, CFMoto 800NK dan juga MV Agusta Brutale.

QJMOTOR SRK 921

 

SPESIFIKASI QJMOTOR SRK 921

  • Dua warna pilihan iaitu hitam dan merah
  • Enjin 4-silinder sebaris 921cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair (2 jenis iaitu air dan minyak) dan sistem suntikan bahan api (FI)
  • Kuasa maksimum 127hp @ 10,000rpm
  • Tork puncak 93Nm @ 8,000rpm
  • Nisbah mampatan 13: 01
  • Kotak gear klac manual 6-kelajuan dengan klac slipper
  • Meter jenis TFT berwarna
  • Brek cakera berkembar 320mm dengan kaliper radial Brembo 4-piston
  • Brek cakera tunggal 260mm dengan kaliper 2-piston
  • Panjang 2,130mm
  • Lebar 930mm
  • Tinggi 1,130mm
  • Jarak roda 1,425mm
  • Saiz tayar depan 120/70 – 17
  • Saiz tayar belakang 190/50 – 17
  • Tangki minyak 14.5 liter
  • Berat 215kg
  • Fork terbalik Marzocchi boleh laras prabeban dan lantunan
  • Absober monoshock juga boleh laras prabeban