Yamaha Sniper 155 2024 dilancarkan di pasaran Filipina

Di pasaran Filipina baru-baru ini, Yamaha Sniper 155 2024 telah dilancarkan, dalam dua varian iaitu Standard (Yamaha Sniper 155) dan ABS (Yamaha Sniper 155R). Bagi varian Standard, dua pilihan warnanya ialah Race Blue dan Cyan, dengan harga jualan ₱ 125,900.00 (RM 10,281.86). Varian ABS tampil dengan skim warna Matte Black, pada harga ₱ 145,900.00 (RM 11,917.72).

Berbanding varian Standard, varian ABS iaitu Yamaha Sniper 155R 2024 didatangkan dengan beberapa ciri eksklusif, seperti sistem brek ABS Single Channel, brek cakera depan dengan dua pot kaliper, sistem Smart Key, dan soket pengecas DC 12V. Di bahagian enjin pula, kedua-dua varian tersebut dilengkapi enjin yang sama bersesaran 155cc, sama seperti model terdahulu.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch, dan menawarkan kuasa maksimum 17.9PS @ 9,500rpm dengan tork puncak 14.4Nm @ 8,000rpm. Sementara itu di pasaran Malaysia, Yamaha Y16ZR ABS 2024 telah dilancarkan dalam bulan Januari 2024 yang lepas dengan tiga pilihan warna menarik, pada harga asas RM 11,398.00.