Model skuter adventure terbaharu SYM Husky 150 2024 telah selamat dilancarkan di pasaran Malaysia, pada tarikh 1 April 2024 yang lalu. Terdapat empat pilihan warna yang ditawarkan iaitu Pure White dan Ebony Black untuk varian Standard, diikuti Wolf Grey dan Matte Green untuk varian Special Edition. Harga asas kedua-duanya sebanyak RM 9,998.00 dan RM 10,298.00.
SYM Husky 150 2024 dilengkapi enjin bersesaran 150cc (liquid-cooled, 4-valve), dengan kuasa maksimum 14.47hp @ 8,000rpm dan tork puncak 14.5Nm @ 6,000rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi CVT. Menurut sumber, kelajuan maksimum model skuter dengan berat 153 kg (curb weight) dan tangki bahan api 15 liter ini mencapai 125 km/h (GPS 114 km/h).
Selain daripada reka bentuknya yang menarik, SYM Husky 150 2024 turut menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik dan moden. Antaranya ialah suspensi belakang yang mirip monoshock, Keyless, panel meter digital, port pengecas USB, sistem lampu LED, Hazard Light, Emergency Signal Button, ABS Dual Channel, Traction Control System (TCS), dan ruang barangan seluas 22 liter.
Setakat ini berdasarkan pemerhatian, Sym Husky 150 2024 ini telah mendapat sambutan hangat daripada ramai peminat model skuter di pasaran tempatan. Salah satu sebabnya ialah kerana saiz tangki bahan apinya yang mencapai 15 liter. Ianya mengatasi saiz tangki bahan api Honda ADV160 (8.1 liter), WMoto Xtreme 150i (11 liter), dan juga Aveta VADV150 Hybrid (9.3 liter).
Dengan saiz tangki bahan api yang lebih besar, secara tidak langsung menjadikannya sesuai untuk ditunggang pada jarak yang lebih jauh, tanpa perlu kerap singgah di stesen minyak. Difahamkan Sym Husky 150 2024 juga menjadi pilihan kebanyakan pembeli, kerana harganya yang lebih berpatutan. Namun kini dikatakan harga jualannya mula meningkat semakin tinggi.
Melihat kepada komen-komen di media sosial, terdapat peminat dan bakal pembeli yang mengatakan pihak kedai motosikal mula bermain harga, disebabkan Sym Husky 150 2024 ini mendapat permintaan yang tinggi. Jika benar, tidak mustahil harganya nanti boleh meningkat sehingga RM 12k ke RM 14k. Andai perkara seperti itu berlaku, ianya amatlah mendukacitakan.