Model adventure Honda NX500 2024 kini di pasaran Thailand

Pada penghujung tahun yang lepas, Honda NX500 2024 dengan rasminya telah dilancarkan di pasaran Thailand. Model adventure tersebut tampil dengan tiga pilihan warna menarik, dengan harga bermula dari THB 227,900.00, bersamaan nilai RM 29,532.53 mengikut kadar semasa.

Berbanding Honda NX400 2024 di pasaran Jepun, Honda NX500 dilengkapi enjin 471cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, parallel twin) dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Enjin itu menghasilkan 47hp @ 8,600rpm dengan tork maksimum 43Nm @ 6,500rpm.

Honda NX500 merupakan pengganti kepada model terdahulu Honda CB500X. Dari segi rekaan, ianya kelihatan lebih sporty dan moden. Spesifikasi menariknya termasuklah fork depan terbalik, suspensi belakang Prolink (mono with 5 stage preload adjuster), cakera brek depan berkembar 296 mm, cakera brek belakang 240 mm, ABS Dual Channel, dan tangki bahan api 17.5 liter.

Selanjutnya, Honda NX500 dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya dengan ciri keselamatan Emergency Stop Signal (ESS), panel meter TFT 5.0 inci berwarna dengan teknologi canggih Honda RoadSync, serta Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan butang kawalan.

Di bahagian roda, ianya bersaiz 110/80-R19 (depan) dan 160/60-R17 (belakang). Tinggi tempat duduk 834 mm, jarak kelegaan tanah 181 mm, dan beratnya 196 kg (net weight). Untuk pasaran Malaysia, Honda NX500 2024 ini bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia Autoshow 2024.