Bertempat di EICMA 2023 pada bulan November yang lalu, MBP (Moto Bologna Passione) telah memperkenalkan sebuah model adventure terbaharu yang cukup menarik dan sporty iaitu MBP T502X 2024. Model itu dilengkapi enjin bersesaran 486cc (2-cylinder, 4-stroke, 8-valve).
Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan slipper clutch, kuasa maksimumnya berada pada paras 46.9hp (35kW) @ 8,500rpm dengan tork 43Nm @ 6,750rpm. Dengan berat kering 195 kg dan tangki bahan api 16 liter, kelajuan maksimumnya mencapai sehingga 160 km/j.
Spesifikasi menarik lain pada MBP T502X 2024 ini termasuklah sistem lampu LED, panel meter TFT 5.0 inci jenis menegak, butang kawalan dengan cahaya latar, fork depan upside-down, brek cakera depan berkembar 300 mm dan cakera belakang 240 mm, dan ABS Dual Channel. Tinggi pelana 830 mm, tayar bersaiz 110/80-19 dan 150/70-17, dan jarak kelegaan tanah 210 mm.
Untuk pasaran Malaysia, jenama MBP telah diperkenalkan pada tahun lepas oleh MForce Bike selaku pengedar eksklusif. Menurut MForce Bike, beberapa buah model baharu keluaran MBP akan dilancarkan pada tahun ini. Adakah MBP T502X 2024 juga termasuk dalam senarai?