Honda CB500X 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia dengan naik taraf terbaharu, harga asas RM 36,099.00

2022 Honda CB500X

Bukan hanya model sport bike Honda CBR500R 2022, malah Boon Siew Honda pada kelmarin turut melancarkan model adventure Honda CB500X 2022 terbaharu. Model itu telah menerima beberapa naik taraf terkini yang lebih signifikan, manakala harga jualan asasnya kekal berpatutan iaitu RM 36,099.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Tempoh jaminannya pula ialah selama 2 tahun atau 20,000 km perbatuan.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CB500X 2022 tampil dalam tiga pilihan warna menarik Grand Prix Red, Matt Gunpowder Black Metallic dan Pearl Organic Green. Di bahagian enjin, ianya bersesaran 471cc (liquid-cooled, 4-stroke, parallel twin, PGM-FI) dan patuh piawaian Euro 5, dengan padanan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Enjin itu menjana kuasa maksimum 49.6hp @ 8,500rpm dan tork 45Nm @ 6,500rpm.

Model kembara itu seterusnya dilengkapi tangki bahan api 17.5 liter, panel meter digital LCD, sistem lampu LED, sistem brek ABS 2-channel, ketinggian tempat duduk 830 mm, ukuran tayar 110/80-R19 (depan) dan 160/60-R17 (belakang), sistem lampu Emergency Stop Signal, jarak kelegaan bumi 180 mm yang pastinya bersesuaian, dan berat 198 kg (curb weight). Lebih dari itu, beberapa naik taraf terbaharu menambahkan lagi nilainya.

Sama seperti model yang diperkenalkan di pasaran Eropah, Honda CB500X 2022 kini dilengkapi fork depan upside-down Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm, bersama-sama sistem suspensi belakang yang ditala semula agar prestasinya selari dengan fork depan terbaharu. Penggunaan lengan ayun baharu yang lebih ringan dengan ‘lateral flex’ lebih tinggi pula, turut meningkatkan lagi prestasi pengendaliannya.

Selain itu, model tersebut juga kini telah menerima rekaan rim roda baharu dan radiator yang lebih ringan, seterusnya menyumbang untuk pengurangan berat motosikal. Sistem suntikan bahan api pada model berkenaan juga telah ditala semula, demi meningkatkan lagi perwatakan enjin agar ianya lebih responsif dalam semua keadaan tunggangan.

Paling mengujakan mungkin pada bahagian brek, apabila brek depannya kini dilengkapi cakera berkembar 296 mm dengan kaliper radial-mount dua piston. Seterusnya, lampu depan LED kini hadir lebih berkuasa bersama-sama lampu penunjuk posisi depan, yang kini menawarkan penglihatan yang lebih jelas untuk tahap keselamatan yang lebih baik. Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh kunjungi wakil penjual BSH yang berdekatan.