QJ Motor Malaysia (MForce Bike Holdings Sdn.Bhd.) pada hari ini secara rasminya melancarkan sebuah model skuter terbaharu, yang diberi nama QJ Motor LTR150 2024. Model berkenaan didatangkan dengan empat pilihan warna menarik iaitu Mint Green, Lime Creme, Sky Blue dan Carnation Pink. Harga jualan asasnya pula ditawarkan sebanyak RM8,888.00 sahaja.
QJ Motor LTR150 tampil dengan gaya rekaan retro klasik yang moden dan menawan. Enjinnya bersesaran 149cc (liquid-cooled, 4-valves, SOHC) dan dipadankan dengan transmisi automatik CVT. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 12.2kW (16.35hp) @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 14.8Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya berkapasiti 6.5 liter.
Model skuter tersebut seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang tunggal, sistem brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS Dual Channel, tayar depan dan belakang bersaiz 100/90-12 dan 110/90-12 masing-masing, tempat duduk yang selesa dengan ketinggian hanya 760 mm, jarak kelegaan tanah 120 mm, dan berat keseluruhan 118 kg.
Melengkapkan lagi ciri-ciri menarik pada QJ Motor LTR150 ini ialah sistem kunci anti-kecurian, panel meter digital LED, lampu depan LED dengan DRL, lampu belakang LED, Idle Stop Button, Hazard Light + Emergency Signal Button, dua poket storan depan dengan port pengecas USB, penyangkut barangan yang praktikal, dan ruang storan di bawah tempat duduk yang luas.
Untuk anda yang berminat, QJ Motor LTR150 2024 kini boleh didapati di mana-mana pengedar sah QJ Motor di seluruh negara. Dengan setiap pembeliannya, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana tiba dahulu), dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.