Kawasaki Eliminator 400 2025 kini di pasaran Jepun, diperkenalkan dengan tiga pilihan varian

Di pasaran Jepun, Kawasaki Eliminator 400 2023 diperkenalkan secara rasmi pada bulan Mac 2023. Kini model tersebut telah diperkenalkan untuk musim seterusnya, tetapi bukan lagi untuk musim 2024, sebaliknya melangkah terus ke musim 2025. Lebih menarik, Kawasaki Eliminator 400 2025 itu kini diperkenalkan dalam tiga varian iaitu Standard, Plaza Edition dan SE.

Spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan masih lagi sama, kecuali bagi varian Plaza Edition, ianya kini tampil sebagai model dalam kelas pertengahan. Kedua-dua varian Plaza Edition dan SE berkongsi spesifikasi menarik yang sama iaitu dilengkapi soket pengecas USB jenis Type-C dan kamera perakam video di bahagian depan dan belakang yang serasi dengan sistem GPS.

Cuma kekurangan varian Plaza Edition berbanding varian SE ialah ianya tidak dilengkapi cowl lampu depan dan cover penutup fork teleskopik depan. Bagi pilihan warna pula, varian Standard tampil dengan warna tunggal Metallic Flat Spark Black, diikuti varian Plaza Edition dengan dua pilihan warna Pearl Sand Khaki dan Pearl Storm Gray. Untuk varian SE, dua pilihan warnanya ialah Phantom Blue / Ebony dan Metallic Flat Spark Black / Metallic Matte Dark Green.

Untuk pasaran domestik Jepun, Kawasaki Eliminator 400 2025 bagi varian Standard ditawarkan dengan harga jualan 814,000.00 Yen (RM 25,883.86). Bagi varian Plaza Edition dan SE, kedua-duanya ditawarkan dengan harga jualan 869,000.00 Yen (RM 27,632.77) dan 913,000.00 Yen (RM 29,031.90) masing-masing. Nilai RM adalah berdasarkan kadar mata wang semasa.

Imbas kembali spesifikasi enjin yang ditawarkan untuk ketiga-tiga varian Eliminator 400 tersebut, iaitu bersesaran 398cc dengan gandingan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Enjin dua silinder itu menghasilkan kuasa maksimum 48PS @ 10,000rpm dengan tork 37Nm @ 8,000rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya berkapasiti 12 liter.

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS, tayar depan dan belakang bersaiz 130/70-18 dan 150/80-16, tinggi tempat duduk 735 mm, sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital LCD dengan pelbagai informasi berguna, dan sistem sambungan ke telefon pintar.

Galeri : Kawasaki Eliminator 400 2025

Galeri : Kawasaki Eliminator 400 Plaza Edition 2025

Galeri : Kawasaki Eliminator 400 SE 2025