Honda CBR400R 2024 berwajah baharu diperkenalkan di pasaran Jepun

Pada bulan November 2023 yang lepas, Honda CBR500R 2024 berwajah baharu secara rasminya diperkenalkan di pasaran Eropah. Kini model tersebut diperkenalkan pula di pasaran Jepun, namun dengan nama yang berbeza iaitu Honda CBR400R 2024. Tampil serupa, namun dengan kapasiti enjin yang berbeza.

Untuk pasaran Jepun, Honda CBR400R 2024 akan ditawarkan secara rasmi bermula tarikh 21 Mac 2024. Harga jualannya ditetapkan sebanyak 863,500.00 Yen, bersamaan RM 27,526.67 mengikut kadar semasa. Untuk makluman, model sport bike tersebut merupakan penerus kepada model terdahulu iaitu Honda CBR400R 2022, yang diperkenalkan pada bulan Disember 2021.

Antara ciri-ciri baharu yang diperkenalkan untuk Honda CBR400R 2024 ini termasuklah Honda Selectable Torque Control (HSTC), panel meter TFT berwarna sepenuhnya dengan saiz 5.0 inci, dan sistem Honda RoadSync yang boleh dihubungkan ke telefon pintar. Dua pilihan warna menarik yang ditawarkan ialah Grand Prix Red dan Matte Ballistic Black Metallic.

Enjinnya bersesaran 399cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, inline 2-cylinder), yang kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin dua silinder itu mencapai paras maksimum 46PS @ 9,000rpm dengan tork puncak 38Nm @ 7,500rpm.

Melengkapkan lagi spesifikasi menarik pada Honda CBR400R 2024 ini ialah fork depan Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm, suspensi belakang jenis Prolink, brek cakera depan berkembar, ABS Dual Channel, sistem lampu LED, tangki bahan api 17 liter, tinggi tempat duduk 785 mm, dan sepasang tayar bersaiz 120/70-R17 (depan) dan 160/60-R17 (belakang).

Berat penuhnya mencapai angka 191 kg. Sementara itu di pasaran Malaysia, Boon Siew Honda masih menawarkan model Honda CBR500R 2022, yang diperkenalkan pada awal tahun 2022. Oleh itu dijangkakan yang model tersebut bakal digantikan dengan Honda CBR500R 2024 tidak lama lagi, sama seperti model yang ditawarkan di pasaran Eropah.