Honda Winner X 2024 kini rasmi dilancarkan di pasaran Filipina, pada beberapa hari yang lepas. Model tersebut ditawarkan dalam tiga pilihan varian iaitu Standard, ABS Premium dan ABS Racing. Bagi varian Standard, dua pilihan warnanya ialah Pearl Iceberg White dan Infinity Red.
Bagi varian ABS Premium pula, ianya tampil dengan dua pilihan warna Matte Meteoric Red Metallic dan Matte Galaxy Black Metallic. Bagi varian teratas ABS Racing, ianya ditawarkan dalam satu pilihan warna sahaja iaitu Infinity Red, bersama-sama rim roda yang berwarna keemasan.
Di bahagian teknikal, ketiga-tiga varian Honda Winner X 2024 untuk pasaran Filipina ini dilengkapi spesifikasi dan ciri-ciri yang sama. Yang berbeza hanyalah pilihan warna, termasuklah sistem brek ABS Single Channel yang eksklusif hanya untuk varian ABS Premium dan ABS Racing sahaja.
Honda Winner X 2024 dilengkapi enjin bersesaran 149cc (4-stroke, 4-valve, DOHC, liquid-cooled) dengan padanan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkannya mencapai paras 15.4hp @ 9,000rpm, dengan tork puncak 13.5Nm @ 7,000rpm.
Sistem suspensinya merupakan gandingan fork depan teleskopik dan suspensi belakang monoshock. Sistem brek depan dan belakang, kedua-duanya jenis cakera. Di bahagian roda, ianya bersaiz 90/80-R17 (depan) dan 120/70-R17 (belakang), lengkap dengan tayar tanpa tiub.
Honda Winner X 2024 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 4.5 liter dan tinggi tempat duduk 795 mm. Melengkapkan lagi ciri-ciri menarik pada model tersebut ialah Smart Key System, port pengecas USB, panel meter digital, sistem lampu LED, dan juga teknologi Bank Angle Sensor.
Menurut Honda, Bank Angle Sensor merupakan teknologi keselamatan yang akan mematikan enjin motosikal secara automatik, apabila ianya mengesan kedudukan sudut motosikal melebihi 70 darjah. Situasi seperti itu kebiasaannya berlaku apabila motosikal terlibat dalam kemalangan.
Untuk pasaran Filipina, Honda Winner X 2024 ditawarkan dengan harga dari PHP 123,900.00 (RM 10,551.28) untuk varian Standard, dan diikuti PHP 129,900.00 (RM 11,062.24) untuk varian ABS Premium. Varian teratas ABS Racing pula berharga sebanyak PHP 131,900.00 (RM 11,232.56).
Untuk makluman, Honda Winner X 2024 di pasaran Filipina merupakan versi paling terkini, sama seperti Honda Winner X 2024 di pasaran Vietnam. Di pasaran Malaysia pula, Honda RS-X 2024 baru saja dilancarkan, namun masih mengekalkan ciri-ciri terdahulu seperti model sebelumnya.
Artikel berkaitan :