Honda CBR400R untuk pasaran domestik Jepun sebelum ini telah menerima beberapa naik taraf dan kemaskini terbaharu, antaranya pada tahun 2019 dan 2020. Terkini untuk musim 2022, model tersebut sekali lagi menerima beberapa naik taraf spesifikasi yang lebih menarik, termasuklah tiga pilihan warna baharu yang lebih sporty dan segar.
Perubahan paling signifikan untuk Honda CBR400R 2022 ini ialah ianya kini dilengkapi fork depan terbalik Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) berdiameter 41 mm. Brek cakera di bahagian roda depan pula kini didatangkan dalam versi berkembar yang lebih berprestasi, dengan kaliper jenis radial-mount dua piston daripada Nissin.
Selain itu, agihan beban di bahagian belakang dan depan telah dioptimumkan semula, melalui penggunaan lengan ayun yang lebih ringan dan kukuh, serta pengurangan berat roda hadapan. Naik taraf yang telah diterima itu seterusnya menyumbang kepada tahap prestasi cengkaman yang lebih mantap dan pusingan roda hadapan yang lebih baik.
Lebih dari itu, rim roda depan dan belakang juga telah direka semula dan beratnya telah dikurangkan, yang turut menyumbang kepada prestasi pengendalian keseluruhan yang lebih ringan. Untuk pasaran domestik Jepun, Honda CBR400R 2022 akan mula berada di pasaran mulai 22 Januari 2022, dengan harga jualan 841,500 Yen (RM 31,410.14).
Honda CBR400R 2022 masih mengekalkan spesifikasi enjin yang sama seperti model sebelumnya, iaitu 399cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, inline 2-cylinder) yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Janaan kuasa yang dihasilkan enjin itu mencapai 46PS @ 9,000rpm dengan tork 38Nm @ 7,500rpm.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, paparan panel meter digital LCD dengan pelbagai maklumat, sistem brek ABS, dan ketinggian tempat duduk pada paras hanya 785 mm. Honda CBR400R 2022 mempunyai kapasiti tangki bahan api 17 liter, dan berat keseluruhannya ialah 192 kg.