KTM 250 Duke 2024 tiba di pasaran Jepun, harga RM 22,006.69

KTM baru-baru ini telah melancarkan model naked KTM 250 Duke 2024 serba baharu, untuk pasaran Jepun. Model tersebut tampil dengan dua pilihan warna menarik iaitu Electronic Orange dan Ceramic White. Harga jualannya ditawarkan sebanyak 689,000 Yen (RM 22,006.69).

Berbanding model generasi terdahulu, KTM 250 Duke 2024 kini mempunyai reka bentuk yang lebih sporty, serta menerima banyak pembaharuan terkini. Enjinnya bersesaran 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, single-cylinder) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Enjin yang diberi nama LC4c itu kini patuh piawaian emisi Euro 5+, seterusnya menjana kuasa maksimum 31PS @ 9,500rpm dengan tork maksimum 25Nm @ 7,500rpm. Tangki bahan apinya berkapasiti 15 liter, tinggi tempat duduk 800 mm, dan berat model naked tersebut 165 kg.

Melengkapkan lagi spesifikasinya termasuklah sistem ride-by-wire, power assist slipper clutch, panel meter digital LCD 5.0 inci, sistem lampu LED, WP APEX Open Cartridge big piston fork 43 mm (non-adjustable), dan suspensi belakang WP APEX Emulsion (preload adjustability).

KTM 250 Duke 2024 juga dilengkapi sistem brek cakera, lengkap dengan Cornering ABS dan Supermoto ABS. Saiz tayar depan dan belakangnya 110/70-17 dan 150/60-17. Untuk pasaran Malaysia, model ini pastinya akan menggantikan model terdahulu KTM 250 Duke 2022.