KTM Malaysia pada kelmarin secara rasminya melancarkan model terbaharu KTM 250 Duke 2022 untuk pasaran Malaysia. Harga asas yang ditawarkan untuk model naked itu adalah sebanyak RM 21,500.00 sahaja, dengan dua pilihan warna yang menarik. Model tersebut kini turut dilengkapi lampu depan LED baharu yang lebih agresif dan terang.
Teknologi Supermoto ABS pula tidak dapat dipastikan sama ada ianya turut melengkapi model versi pasaran Malaysia ini, seperti mana yang ditawarkan di pasaran luar negara. Spesifikasi teknikal lain adalah sama seperti mana model KTM 250 Duke 2020, dengan enjin satu silinder 248.8cc yang menawarkan 30hp @ 9,000rpm dan tork puncak 24Nm @ 7,250rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan dengan slipper clutch.
KTM 250 Duke 2022 menggunakan sistem suspensi depan dan belakang daripada WP, sementara sistem brek cakera depan 300 mm dan belakang 230 mm dengan ABS Two Channel memastikan jentera naked berprestasi itu sentiasa stabil dan terkawal. Ciri-ciri lain ialah panel meter LCD dengan pelbagai informasi penting, tinggi tempat duduk 830 mm, tangki petrol 13.4 liter, dan tayar 110/70-R17 (depan) dan 150/60-R17 (belakang).