Sewaktu berlangsungnya acara motosikal EICMA 2023 yang lepas, antara model terbaharu yang dipamerkan ialah Keeway V302N 2024. Menurut Keeway, model tersebut berada di dalam kategori Street Fighter dengan enjin 298cc V-Twin (4-stroke, 8-valve, SOHC, liquid-cooled).
Kuasa maksimum yang dihasilkannya mencapai paras 29.5hp @ 8,500rpm dengan tork 26.5Nm @ 6,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan sistem transmisi enam kelajuan dengan slipper clutch. Dengan berat kering 170 kg, ianya mempunyai kelajuan maksimum sehingga 129 km/j.
Di samping keunikan enjin V-Twin, Keeway V302N 2024 turut mempunyai beberapa lagi ciri menarik iaitu single-sided swingarm, bahagian belakang yang kosong tanpa ekor belakang, dan sistem ekzos jenis berkembar serta berukuran pendek yang berada di posisi sebelah kanan.
Spesifikasi menarik lain termasuklah fork depan USD, suspensi belakang monoshock (preload adjustable), tangki bahan api 16 liter, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, tayar depan dan belakang bersaiz 110/70-R17 dan 150/60-R17, dan tinggi tempat duduk 795 mm.