Pada tahun lepas, model bergaya custom terbaharu Kiden KD150-C 2023 secara rasminya diperkenalkan di pasaran China. Model tersebut dilengkapi enjin bersesaran 150cc (liquid cooled, SOHC, BOSCH EFI) yang dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan.
Kuasa maksimum yang ditawarkan oleh enjin itu mencapai paras 18.8hp @ 9,250rpm dengan tork maksimum 16Nm @ 7,500rpm. Terkini untuk pasaran Eropah, model yang sama telah dilancarkan baru-baru ini, namun dengan kapasiti enjin yang lebih kecil iaitu hanya 125cc.
Model tersebut iaitu Zontes C125 2024 menawarkan prestasi maksimum 14.7hp @ 9,000rpm dengan tork 13Nm @ 7,000rpm. Enjin itu dipadankan sistem transmisi enam kelajuan, bersama-sama slipper clutch untuk meningkatkan lagi tahap keselamatannya sewaktu tunggangan.
Melengkapkan spesifikasi model custom itu ialah tangki bahan api 16 liter, fork depan teleskopik dengan travel 127 mm, suspensi belakang berkembar boleh laras (preload adjustable), sistem brek cakera depan dan belakang, ABS Dual Channel, dan tinggi tempat duduk 700 mm.
Ciri-ciri menarik lain pada Zontes C125 2024 termasuklah sistem kawalan keyless, sistem lampu LED, panel meter digital LCD, dual soket pengecas USB, sensor tekanan tayar, tayar bersaiz 120/80-R16 (depan) dan 140/70-R16 (belakang), dan berat keringnya hanyalah 137 kg.
Untuk pasaran Eropah, khususnya di pasaran Sepanyol, Zontes C125 2024 ditawarkan dengan harga jualan sebanyak €3,087.00, bersamaan RM 15,871.05 (kadar semasa). Untuk pasaran Malaysia jika model ini akan dilancarkan, versi 150cc atau 200cc dirasakan lebih sesuai.