Honda NX500 2024 diperkenalkan di pasaran Eropah

Selain daripada model Honda CBR500R 2024 dan Honda CB500 Hornet 2024, Honda Motor Europe baru-baru ini turut memperkenalkan model Honda NX500 2024.

Honda NX500 2024 merupakan pengganti kepada model Honda CB500X. Selain nama baharu, model tersebut juga kini tampil dengan reka bentuk baharu yang lebih menarik.

Model di dalam segmen adventure itu kemudiannya didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Grand Prix Red, Matt Gunpowder Black Metallic dan Pearl Horizon White.

Honda NX500 2024 berkongsi enjin dua silinder yang sama dengan model CBR500R dan CB500 Hornet, iaitu bersesaran 471cc (liquid-cooled, 4 stroke, DOHC, parallel twin).

Enjin yang cekap dan responsif itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, menawarkan kuasa maksimum 47hp @ 8,600rpm dengan tork setinggi 43Nm @ 6,500rpm.

Di pasaran Malaysia, Honda CB500X masih ditawarkan dengan harga RM 36,099.00. Selepas ini dijangkakan ianya bakal digantikan dengan model baharu Honda NX500 ini.