Ducati Panigale V4 SP2 2023 kini di Malaysia, harga RM 299,900.00

Pada penghujung bulan September yang lepas, model terbaharu Ducati Panigale V4 SP2 2023 rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Harga asasnya ditawarkan sebanyak RM 299,900.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dan hanya tersedia dalam jumlah terhad.

Jentera berprestasi tinggi itu dikuasakan enjin Desmosedici Stradale bersesaran 1,103cc, yang dipadankan transmisi enam kelajuan dengan Ducati Quick Shift (DQS) up/down EVO 2. Enjin itu menghamburkan kuasa maksimum 215.5hp @ 13,000rpm dengan tork 123.6Nm @ 9,500rpm.

Spesifikasi lain pada Ducati Panigale V4 SP2 2023 termasuklah tangki bahan api 17 liter, sistem suspensi Öhlins dengan ciri boleh laras sepenuhnya, sistem brek depan dengan kaliper Brembo Monobloc Stylema R empat piston, tinggi pelana 850 mm, dan beratnya 194.5 kg (kerb weight).

Turut melengkapinya ialah teknologi Riding Modes, Power Modes, Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO 3, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Slide Control (DSC), Engine Brake Control (EBC) EVO 2, di samping beberapa komponen karbon fiber yang ringan.