Pada tarikh 17 Julai 2023, Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) dengan rasminya melancarkan tiga model terbaharu untuk pasaran Malaysia, iaitu Modenas Ninja 650 2023, Modenas Z650 2023, dan Modenas Versys 650 2023 yang merupakan sebuah model adventure yang selesa dan praktikal.
Modenas Versys 650 2023 tampil dengan dua pilihan warna menarik iaitu Metallic Spark Black dan Candy Limegreen / Metallic Flat Spark Black, masing-masing dengan harga sebanyak RM 38,400.00 dan RM 39,100.00 (harga jualan asas, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).
Di bahagian penjana kuasa, Versys 650 mempunyai enjin bersesaran 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan kuasa maksimum 67PS @ 8,500rpm dan tork puncak 61Nm @ 7,000rpm. Enjin berprestasi itu seterusnya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan.
Melengkapkan lagi spesifikasi menarik lain pada model adventure itu termasuklah KTRC (Kawasaki TRaction Control), sistem lampu LED sepenuhnya, paparan instrumen TFT 4.3 inci berwarna dengan ciri sambungan ke telefon pintar, dan skrin penghadang angin dengan 4 tahap pelarasan manual.
Modenas Versys 650 2023 kemudiannya dilengkapi sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, tangki bahan api 21 liter untuk perjalanan yang lebih jauh, tinggi tempat duduk 845 mm, tayar bersaiz 120/70-17 dan 160/60-17, jarak kelegaan tanah 170 mm, dan berat penuhnya 219 kg (curb mass).
Untuk pasaran Malaysia, Modenas Versys 650 2023 didatangkan dengan tempoh jaminan selama 2 tahun, di samping jarak perbatuan tanpa had dan perkhidmatan Kawasaki Roadside Assistance 24/7. Model tersebut akan tiba di bilik pameran pengedar EMOS di seluruh negara mulai akhir Julai 2023.