Kawasaki Malaysia kini menawarkan jaminan selama 2 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had

Kawasaki Malaysia baru-baru ini mengumumkan tawaran jaminan terbaharu selama 2 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had, bagi semua model Kawasaki termasuklah yang dijenamakan semula di atas nama Modenas. Tawaran tersebut untuk semua model yang dibeli dari tarikh 1 Julai 2023 dan ke atas.

Sebelum ini tempoh jaminan yang ditawarkan adalah selama 2 tahun dengan jarak perbatuan sehingga 20,000 km, yang mana tiba dahulu. Pada masa yang sama, setiap model motosikal Kawasaki termasuk yang berjenama Modenas, perlulah diservis di pusat servis sah bagi mengelakkan jaminannya terbatal.

Menurut Kawasaki Malaysia, tempoh jaminan terbaharu itu juga merangkumi program servis bantuan tepi jalan 24/7. Dengan pengenalan tempoh jaminan terbaharu tanpa had perbatuan, pemilik Kawasaki dan Modenas di Malaysia kini tidak lagi merasa bimbang untuk menunggang dengan lebih jauh.