Modenas Dominar D400 Adventure 2023 rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, harga RM 15,797.00

Serentak dengan pelancaran model baharu Modenas Dominar D250 2023 di Malaysia Autoshow 2023 ialah pelancaran model Modenas Dominar D400 Adventure 2023.

Hadir dengan dua pilihan warna menarik Savanna Green dan Charcoal Black, Modenas Dominar D400 Adenture ini ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 15,797.00.

Berbanding versi standard, varian adventure kini dilengkapi dengan beberapa ciri yang lebih menarik, menjadikannya sebuah jentera touring jarak jauh yang lebih praktikal.

Ciri-ciri baharu yang menarik itu merangkumi ‘Tall Visor’, ‘Hand Guard’, ‘USB Charging Port’, ‘Navigation Stay’, ‘Leg Guard’, ‘Engine Bash Plate’ dan ‘Carrier + Back Stopper’.

Spesifikasi lain kekal sama, seperti enjin 373.3cc (Single cylinder, DOHC, Liquid cooled, Triple Spark, FI) dengan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.

Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 40PS @ 8,800rpm dan tork maksimum 35Nm @ 6,500rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, ianya dilengkapi tangki bahan api 13 liter.

Melengkapkan lagi spesifikasi Modenas Dominar D400 Adventure ialah fork depan USD 43 mm dengan suspensi ‘Multi-step adjustable Mono shock with Nitrox’ di belakang.

Untuk ciri keselamatan terbaik, sistem brek depan dan belakangnya didatangkan cakera bersaiz 320 mm dan 230 mm masing-masing, lengkap dengan ABS Dual Channel.

Spesifikasi menarik lainnya ialah seperti panel meter digital LCD (Digital Split Console), sistem lampu LED, dan sistem ekzos dengan muffler berkembar yang tampil sporty.

Modenas Dominar D400 Adenture seterusnya berdiri di atas tayar depan dan belakang bersaiz 110/70-17 dan 150/60-17. Berat keseluruhan model touring itu ialah 193 kg.

Untuk anda yang berminat, sudah boleh menempah model menarik ini yang akan tiba di bilik pameran pengedar sah Modenas di seluruh negara bermula bulan Mei 2023 ini.