Bertempat di acara Malaysia Autoshow 2023 (4 – 7 Mei) di MAEPS, Serdang baru-baru ini, Modenas rasmi melancarkan model terbaharu Modenas Dominar D250 2023.
Untuk pasaran Malaysia, model tersebut tampil dengan tiga pilihan warna yang menarik iaitu Racing Red, Citrus Rush dan Sparkling Black. Harga asasnya pula ialah sebanyak RM 13,797.00, bersama-sama dua tahun jaminan atau 20,000 km jarak perjalanan.
Dengan pelancaran Modenas Dominar D250 ini, ianya merupakan berita gembira untuk semua pemilik lesen dalam kelas B2, yang sebelum ini perlu menaik taraf lesen mereka ke kelas B Full sekiranya mereka mahu memiliki model Modenas Dominar D400.
Beralih ke bahagian spesifikasinya, Modenas Dominar D250 dikuasakan enjin 248.77cc (Single Cylinder, 4 stroke, DOHC, 4 valve, Liquid Cooled, Twin Spark, FI). Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.
Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkannya mencapai 27PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 23.5Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 13.0 liter.
Di bahagian suspensi, ianya merupakan gandingan di antara fork depan terbalik 37 mm dengan ‘Multi-step adjustable Monoshocks with Nitrox’ pada bahagian belakangnya.
Sistem brek depannya menggunakan cakera 300 mm, sementara di bahagian belakang ialah cakera 230 mm. Kedua-dua sistem brek itu lengkap dengan ABS Dual Channel.
Modenas Dominar D250 seterusnya dilengkapi sepasang tayar bersaiz 100/80-R17 dan 130/70-R17. Tinggi tempat duduk model seberat 180 kg itu pula mencapai 800 mm.
Melengkapkan lagi spesifikasinya termasuklah paparan meter digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, dan sistem ekzos Twin Barrel dengan nada bunyi yang meyakinkan.
Modenas Dominar D250 untuk pasaran tempatan ini telah menerima penarafan sebagai sebuah model EEV, dan mematuhi piawaian emisi bertaraf Euro 4 yang mesra alam.