CFMOTO 250SR 2023 terima naik taraf terbaharu di pasaran China

Pasaran China baru-baru ini rasmi menerima pelancaran model CFMOTO 250SR 2023 versi naik taraf terbaharu, dengan penampilan yang lebih sporty dan lebih agresif.

Antara perubahan baharu yang dapat dilihat ialah pada lampu depannya yang kini mirip model CFMOTO 450SR, rekaan semula fairing, ekor dan juga mudguard belakang.

Lengan ayun model tersebut juga kini tampil dengan rekaan baharu yang lebih menarik dan moden. Dua pilihan warna yang tersedia ialah Starlight Black dan Starlight White.

Di bahagian enjin, CFMOTO 250SR 2023 generasi baharu ini kekal dengan enjin 249cc (single cylinder, liquid cooled, DOHC), transmisi enam kelajuan dan slipper clutch.

Enjin berprestasi itu menghasilkan kuasa maksimum 29.23hp @ 9,750rpm dengan tork 22.5Nm @ 7,250rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 12 liter.

Spesifikasi lain seperti fork depan USD, suspensi belakang tunggal, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, tinggi tempat duduk 780 mm, dan berat hanya 155 kg.

Selain sistem lampu LED sepenuhnya, CFMOTO 250SR 2023 ini juga dilengkapi panel meter TFT 5.0 inci yang menyokong paparan MotoPlay dan sambungan ke telefon.

Untuk pasaran China, harga jualan yang ditawarkan untuk model sport bike berkenaan adalah sebanyak RMB 19,980.00, bersamaan nilai RM 13,073.08 (kadar semasa).

Untuk pasaran Malaysia, model yang ditawarkan masih lagi generasi sebelumnya, dan versi terbaharu ini dijangka akan tiba mungkin pada tahun depan atau seterusnya.