Modenas Dominar 250 dijangka dilancarkan pada Mei 2023

Model terbaharu yang selama ini ditunggu-tunggu iaitu Modenas Dominar 250 dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, pada bulan Mei 2023.

Menurut sumber, pelancaran rasmi model tersebut akan berlangsung di acara automotif Malaysia Autoshow 2023 (4 – 7 Mei) yang diadakan di MAEPS, Serdang, Selangor.

Modenas Dominar 250 diasaskan daripada model Bajaj Dominar 250 yang ditawarkan di pasaran India, yang kali terakhir menerima versi terkini pada tahun 2021 yang lalu.

Namun untuk pasaran Malaysia, tidak pasti sama ada model itu akan dilengkapi dengan spesifikasi yang sama sepenuhnya, begitu juga dengan skim warna yang ditawarkan.

Imbas kembali spesifikasi model tersebut di pasaran India, enjinnya mempunyai kapasiti 248.77cc (Single Cylinder, 4 stroke, DOHC, 4 valve, Liquid Cooled, Twin Spark, FI).

Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch, enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 27PS @ 8,500rpm dengan tork 23.5Nm @ 6,500rpm.

Ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah fork depan USD, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, tangki petrol 13 liter, panel meter digital dan sistem lampu LED.

Untuk pasaran Malaysia, Modenas Dominar 250 akan menjadi pilihan terkini di samping model Modenas Dominar D400, khususnya untuk pemilik lesen motosikal kelas B2.

Harga jualan asas Modenas Dominar 250 ini pula semestinya lebih rendah dan mampu milik. Untuk maklumat selanjutnya, kita nantikan pelancarannya pada bulan depan.