KTM 1290 Super Duke RR 2023 diperkenalkan, terhad 500 unit

Susulan daripada kejayaan model KTM 1290 Super Duke RR 2021, kini model tersebut tampil dalam versi KTM 1290 Super Duke RR 2023, dalam jumlah terhad 500 unit.

Dilengkapi enjin bersesaran 1,301cc, model Hyper Naked itu menawarkan nisbah kuasa kepada berat 1:1, iaitu dengan kuasa 180hp dan 140Nm, dan berat hanya 140 kg.

Berbanding model standard KTM 1290 Super Duke R Evo, berat KTM 1290 Super Duke RR adalah 11 kg lebih ringan, antaranya melalui penggunaan material gentian karbon.

Namun begitu, penggunaan komponen sistem suspensi WP Apex Pro yang menjadikan jentera tersebut lebih buas di litar, di samping kelengkapan ciri-ciri eksklusif yang lain.

Lebih dari itu, KTM 1290 Super Duke RR 2023 juga dilengkapi pakej elektronik standard paling lengkap, apabila turut didatangkan mod tunggangan Track dan Performance.

Untuk yang berhasrat memiliki jentera Hyper Naked ini, ianya tersedia untuk pasaran di seluruh dunia. Tempahan rasminya pula telah dibuka sejak tarikh 13hb. Mac 2023.