Boon Siew Honda pada hari ini dengan rasminya melancarkan Honda Wave Alpha 2023 berwajah baharu, yang kini tampil lebih sporty dan menawan.
Berbanding generasi sebelumnya, model kapcai tersebut kini hanya ditawarkan dalam varian rim roda aloi (roda tuangan), dan tiada lagi pilihan varian rim roda jejari.
Honda Wave Alpha 2023 didatangkan dengan tiga pilihan warna yang menarik iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue dan juga Clipper Yellow.
Harga jualan asasnya pula ialah sebanyak RM 5,179.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km.
Ciri-ciri baharu yang diperkenalkan untuk model tersebut adalah seperti enjin 110cc yang bertaraf Euro 4 dan reka bentuk badan baharu yang lebih langsing dan dinamik.
Selain itu ialah meter kelajuan dan lampu belakang baharu, ruang storan seluas 7.3 liter di bawah tempat duduk, dan kapasiti tangki petrol kini meningkat kepada 4.1 liter.
Honda Wave Alpha 2023 dilengkapi enjin 109.2cc (penyejuk udara, SOHC, 4-lejang, 2-injap) dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, dan dipadankan dengan sistem transmisi empat kelajuan.
Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin yang cekap dan mesra alam itu mencapai 8.7hp @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 8.7Nm @ 5,500rpm.
Untuk pemberhentian yang lebih selamat, model kapcai generasi baharu yang serba moden itu dilengkapi dengan sistem brek cakera di bahagian roda depan.
Sekadar makluman, Honda Wave Alpha 2020 (varian rim roda aloi) sebelum ini dijual dengan harga jualan asas sebanyak RM 4,589.00 sahaja.
Namun dengan beberapa naik taraf terbaharu yang diperkenalkan untuk Honda Wave Alpha 2023, harga jualan asas terkini RM 5,179.00 dirasakan masih berpatutan.
Galeri : Honda Wave Alpha 2023
Galeri : Honda Wave Alpha 2020