Baru-baru ini pihak media melaporkan bahawa kesalahan cop parking di bandaraya Johor Bahru boleh dikenakan kompaun sehingga RM 500.00.
Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Noorazam Osman, tindakan itu boleh diambil berdasarkan peruntukan Seksyen 46, Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974).
Cop parking atau cop tempat meletak kenderaan merujuk kepada halangan yang dilakukan di tempat meletak kenderaan, antaranya seperti meletakkan kerusi, baldi, pemadam api, pasu bunga, dan termasuklah berdiri di atas petak parking.
Perbuatan seperti itu menyebabkan pemilik kenderaan lain tidak dapat meletakkan kenderaan mereka, disebabkan halangan-halangan seperti mana yang disebutkan tadi.
Merujuk kepada maklumat daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula, perbuatan cop parking merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 119, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Hukuman yang boleh dikenakan ialah penalti tidak melebihi RM 2,000.00 atau penjara tidak lebih 6 bulan bagi kesalahan pertama, dan denda sehingga RM 4,000.00 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi kesalahan seterusnya.
Melihat kepada bentuk hukuman yang dikenakan, kesalahan cop parking merupakan suatu kesalahan yang agak berat dan perlu dipandang secara serius.
Namun begitu sehingga kini masalah cop parking masih berlaku secara berleluasa di kebanyakan tempat, seolah-olah pelakunya tidak takut dengan undang-undang.
Bagi mengatasi masalah tersebut, pihak berkuasa sepatutnya melakukan pemeriksaan dan melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih kerap dan lebih tegas.
Di samping itu, kempen penerangan secara berterusan melalui media massa dan media sosial perlu dilakukan agar rakyat Malaysia lebih cakna dengan isu tersebut.
Hanya dengan penguatkuasaan yang lebih tegas dan kempen penerangan yang dilakukan secara berterusan sahaja diyakini mampu mengatasi masalah berkenaan.