Pasaran Indonesia baru-baru ini telah menerima pelancaran sebuah model trail atau off-road, yang khusus untuk kegunaan di kawasan kebun atau ladang. Dikenali dengan nama Kawasaki Stockman 2023, model ini juga sangat sesuai untuk sebarang kegiatan di kawasan luar bandar yang biasanya mempunyai keadaan dan bentuk muka bumi yang mencabar dan kebanyakan jalan tidak berturap.
Untuk pasaran Indonesia, Kawasaki Stockman 2023 ini hanya tersedia dalam pilihan warna tunggal Urban Olive Green sahaja. Harga jualannya pula adalah sebanyak Rp. 57,500,000, bersamaan nilai RM 16,359.18. Melihat ke bahagian enjinnya, ianya bersesaran 233cc (air-cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valves) dengan sistem suntikan bahan api, dan dipadankan dengan sistem transmisi 6-kelajuan.
Enjin yang bertenaga itu menawarkan kuasa maksimum 19PS @ 7,600rpm dengan tork 19.8Nm @ 6,100rpm. Kawasaki Stockman selanjutnya dilengkapi ‘inverted fork’ 37 mm dengan travel 158 mm, suspensi belakang ‘new Uni Trak with adjustable spring preload’ dengan travel 168 mm, roda depan 80/100-R21, roda belakang 100/100-R18, sistem brek cakera, dan jarak kelegaan tanah 220 mm.
Tinggi tempat duduk Kawasaki Stockman 2023 berada pada paras 845 mm, dan ianya mempunyai kapasiti tangki bahan api 7.5 liter yang turut menyumbang kepada berat keseluruhan motosikal 137 kg (curb weight). Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada maklumat sama ada Stockman ini akan turut dilancarkan. Pada pendapat anda, adakah ianya mempunyai nilai pasaran di Malaysia?
Sumber gambar : naikmotor.com & kobayogas.com