Pasaran motosikal di Thailand merupakan antara yang terbesar di rantau ASEAN, bersama-sama pasaran Indonesia dan Vietnam. Mungkin sebab itulah model berkuasa tinggi Yamaha YZF-R1 dan YZF-R1M 2022 ditawarkan di pasaran negara jiran itu. Untuk pasaran Malaysia, sehingga kini pihak HLYM masih belum melancarkan kedua-dua model berkenaan, tanpa sebab yang jelas.
Di pasaran Thailand, Yamaha YZF-R1 2022 dijual dengan harga THB 899,000.00, bersamaan nilai RM 112,034.86 mengikut kadar semasa. Yamaha YZF-R1M 2022 pula boleh dimiliki dengan harga THB 1,199,000.00, bersamaan RM 149,291.60. Kedua-dua model tersebut dilengkapi enjin yang sama iaitu dalam sesaran 997cc (In-line, 4-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valves).
Enjin berprestasi tinggi itu kemudiannya menghamburkan kuasa maksimum 200PS @ 13,500rpm dengan tork maksimum 113.3Nm @ 11,500rpm. Yamaha YZF-R1M 2022 bagaimanapun terdapat perbezaan spesifikasi, di mana model itu dibekalkan dengan sistem suspensi premium daripada Öhlins, termasuk tangki bahan api dan lengan ayun belakang buatan material aluminium.
Untuk pasaran Thailand, YZF-R1 tampil dengan dua pilihan warna Icon Blue dan Yamaha Black, manakala YZF-R1M mempunyai hanya satu pilihan warna berasaskan Silver dengan kemasan karbon. Memandangkan kedua-dua model ini tidak ditawarkan di pasaran Malaysia secara rasmi oleh Yamaha, pilihan yang ada hanyalah melalui unit yang ditawarkan oleh pengimport bebas.
Galeri : 2022 Yamaha YZF-R1
Galeri : 2022 Yamaha YZF-R1M