Yamaha XMAX Connected 2023 kini di pasaran Thailand, harga jualan bersamaan RM 23,953.44

Pasaran Thailand hari ini dengan rasminya menerima pelancaran Yamaha XMAX Connected 2023 versi facelift terbaharu, dengan lima pilihan warna yang menarik. Model tersebut ditawarkan dengan harga THB 189,900, bersamaan RM 23,953.44 (nilai semasa). Sementara itu di pasaran Indonesia, versi yang ditawarkan pada awal bulan November 2022 yang lepas ialah versi dengan enjin 250cc.

Yamaha XMAX Connected 2023 di pasaran Thailand adalah sama dengan versi yang ditawarkan di pasaran Eropah dan USA, iaitu dikuasakan enjin bersesaran 292cc (4-stroke, Liquid-cooled, SOHC, 4-valves, Single cylinder) dengan transmisi V-Belt Automatic. Enjin Blue Core yang bertaraf Euro 5 itu menghasilkan kuasa maksimum 27.6hp @ 7,250rpm, dengan tork setinggi 29Nm @ 5,750rpm.

Dari segi penampilan, Yamaha XMAX Connected 2023 kini tampil lebih sporty dengan lampu depan bermotif X, fairing depan yang direka semula, skrin penghadang angin boleh laras baharu, dan juga lampu signal depan pada posisi yang lebih tinggi. Selain itu ianya kini turut dilengkapi dengan skrin  infohiburan TFT 4.2 inci yang boleh bersambung ke telefon pintar dan juga fungsi navigasi Garmin.

Pada bahagian atas skrin tersebut pula, terdapat skrin speedometer digital LCD 3.2 inci berasingan khusus untuk paparan maklumat kelajuan dan sebagainya. Spesifikasi menarik lainnya termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, Smart Key, Traction Control System (TCS), ruang bagasi yang luas dengan muatan dua buah helmet ‘full-face’, soket DC, ABS Dual Channel, dan tangki petrol 13 liter.