Selepas model cruiser Zontes 350S 2022, pasaran China seterusnya menerima model skuter maxi terbaharu Zontes 350M 2022. Tampil dengan empat pilihan warna menarik, harga yang ditawarkan adalah sebanyak CNY 28,800, bersamaan RM 17,957.32 (kadar semasa). Zontes 350M dilengkapi enjin 349cc (single cylinder, liquid cooled, SOHC, Bosch EFI) dengan transmisi automatik CVT.
Enjin itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 36.2hp @ 7,500rpm dengan tork puncak 38Nm @ 6,000rpm. Di bahagian suspensi, Zontes 350M dilengkapi fork depan teleskopik dan suspensi jenis berkembar di bahagian belakangnya. Sistem brek cakera depan dan belakangnya lengkap dengan ABS Dual Channel. Tayar depan dan belakang masing-masing bersaiz 120/70-15 dan 140/70-14.
Zontes 350M memiliki tempat duduk dengan ketinggian hanya 760 mm, manakala jarak kelegaan bumi berada pada paras 150 mm. Berat model skuter maxi dengan tangki bahan api 12 liter itu 187 kg (curb weight). Antara ciri-ciri menarik dan moden yang melengkapi Zontes 350M ini termasuklah dua mod tunggangan ( Eco & Sport), sistem kunci keyless, skrin TFT berwarna sepenuhnya dengan ciri sambungan ke aplikasi telefon pintar, serta dua port pengecas USB jenis Type A dan Type C.
Selain itu Zontes 350M didatangkan dengan sistem lampu LED sepenuhnya yang terang, tuil brek dengan fungsi parking, ruang storan yang luas di bawah tempat duduk yang boleh mengisi sebuah helmet bermuka penuh, sistem pemantauan tekanan tayar, dan juga Traction Control System (TCS) untuk kawalan, kestabilan dan keselamatan yang lebih baik di permukaan basah dan tidak diduga.