Suzuki V-Strom 800DE 2023 diperkenalkan, jentera adventure serba baharu dengan enjin parallel twin 776cc

Bertempat di EICMA 2022 baru-baru ini, Suzuki secara rasminya telah memperkenalkan dua model terbaharu iaitu Suzuki GSX-8S 2023 dan Suzuki V-Strom 800DE 2023. Suzuki GSX-8S merupakan sebuah model streetfighter yang lincah dan agresif, sementara Suzuki V-Strom 800DE pula sebuah model dalam segmen adventure yang tampil serba boleh dengan pelbagai spesifikasi menarik.

Sama seperti GSX-8S, V-Strom 800DE turut dilengkapi enjin terbaharu bersesaran 776cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid cooled, DOHC, 270° crank) dengan transmisi enam kelajuan, Suzuki Clutch Assist System (SCAS) dan Bi-directional Quick Shift System. Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin itu berada pada paras yang lebih tinggi, iaitu 84.3PS @ 8,500rpm dengan tork 78Nm @ 6,800rpm.

Bagi mengatasi pelbagai laluan yang mencabar, Suzuki V-Strom 800DE dilengkapi dengan sistem suspensi Showa dengan ciri boleh dilaraskan sepenuhnya dan jarak travel 220 mm, kelegaan bumi minimum 220 mm, tayar depan dan belakang masing-masing bersaiz 21 dan 17 inci, tayar Dunlop Trailmax Mixtour, dan brek ABS dengan ciri boleh dimatikan sepenuhnya di bahagian belakang.

Lebih dari itu, Suzuki Traction Control System (STCS) yang mempunyai tiga mod jalanan, kini telah menerima mod tambahan G (gravel) untuk aksi yang lebih lasak ketika mengharungi jalan off-road. Ciri-ciri standard lain termasuklah hand guards, tangki bahan api 20 liter, Suzuki Easy Start System, ride-by-wire, Low RPM Assist, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), dan panel meter TFT 5.0 inci.

Suzuki V-Strom 800DE 2023 mempunyai lampu depan LED dengan rekaan menegak dan kompak, di samping lampu penunjuk arah dan lampu belakang semuanya jenis LED. Pilihan warna menarik yang tersedia ialah Champion Yellow, Glass Matt Mechanical Grey dan Glass Sparkle Black. Ketika ini belum dapat dipastikan bilakah model seberat 230 kg ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia.