Suzuki GSX-8S 2023 diperkenalkan secara rasmi di EICMA 2022

Suzuki pada tarikh 08hb. November 2022 dan bertempat di acara pameran motosikal EICMA 2022, secara rasminya memperkenalkan sebuah model streetfighter terbaharu iaitu Suzuki GSX-8S 2023. Model tersebut tampil dengan gaya rekaan yang sporty dan agresif, dan didatangkan dengan tiga pilihan warna Pearl Cosmic Blue, Pearl Tech White dan Glass Sparkle Black / Metallic Matt Black.

Di bahagian enjin, ianya bersesaran 776cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid-cooled, DOHC) dan menjana kuasa maksimum 82.9PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 78Nm @ 6,800rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dan Suzuki Clutch Assist System (SCAS), bersama-sama Bi-directional Quick Shift System untuk penukaran gear yang lebih mudah dan lebih pantas.

Suzuki GSX-8S seterusnya dilengkapi fork depan upside-down dan suspensi belakang monoshock buatan KYB, dan juga lengan ayun aluminium baharu untuk prestasi tunggangan yang lebih selesa dan stabil. Sistem brek depan memperlihatkan ianya dilengkapi cakera berkembar 310 mm dengan cakera belakang tunggal 240 mm. Rim roda aluminiumnya pula mempunyai gaya rekaan sporty.

Selanjutnya, ciri-ciri menarik lain pada Suzuki GSX-8S 2023 termasuklah panel meter TFT 5.0 inci berwarna, sistem lampu depan LED menegak dengan DRL, tangki bahan api 14 liter, tinggi tempat duduk 810 mm, jarak kelegaan bumi 145 mm, roda depan 120/70-ZR17 dan belakang 180/55-ZR17 dengan tayar Dunlop RoadSport 2, dan berat keseluruhan jentera naked tersebut hanyalah 202 kg.

Untuk memudahkan lagi tunggangannya, Suzuki GSX-8S telah dilengkapi sistem elektronik seperti Suzuki Easy Start System, ride-by-wire, Low RPM Assist, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dan Suzuki Traction Control System (STCS) dengan tiga pilihan mod dan juga boleh dimatikan. Adakah Suzuki GSX-8S 2023 ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia? Sama-samalah kita nantikannya.