Benelli Tornado Naked Twin 500 2023 diperkenalkan dengan penampilan depan yang luar biasa

Benelli baru-baru ini telah memperkenalkan gaya bahasa rekaan yang unik dan agresif, melalui dua model terbaharu Benelli BKX 250 2023 dan Benelli BKX 250 S 2023. Bagaimanapun sebuah lagi model naked terbaharu iaitu Benelli Tornado Naked Twin 500 2023, teryata tampil dengan gaya dan rekaan depan yang lebih luar biasa, melalui lampu depan LED yang diapit dengan dua lampu DRL.

Rekaan tersebut boleh dikatakan sangat unik, agresif dan mencerminkan gaya bahasa rekaan yang lebih berani untuk model-model terbaharu keluaran Benelli. Enjinnya pula bersesaran 500cc (In line 2 cylinders, 4-stroke, liquid cooled, double overhead camshaft, 4 valves for cylinder) dengan sistem transmisi enam kelajuan dan slipper clutch, dan menjana 47.6hp @ 8,500rpm dengan tork setinggi 46Nm @ 6,000rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 14 liter.

Benelli Tornado Naked Twin 500 serba baharu ini kemudiannya dilengkapi fork depan upside-down 50 mm dengan suspensi belakang tunggal (central monoshock featuring adjustable spring preload and rebound damping). Sistem brek terdiri daripada brek cakera depan 320 mm berkembar dengan kaliper empat piston dan cakera belakang 260 mm, dengan kedua-duanya dilengkapi sistem ABS.

Rim roda aluminium 17 inci pada model tersebut dibaluti tayar depan dan belakang bersaiz 120/70 dan 160/60, manakala ketinggian tempat duduk berada pada paras 784 mm. Melengkapkan model naked itu ialah panel TFT 5.0 inci berwarna dengan ciri sambungan Bluetooth ke telefon pintar, dan boleh digunakan untuk menjawab panggilan. Lampu signalnya diintegrasikan ke dalam hand guard. Menurut Benelli, Tornado Naked Twin 500 ini akan tiba di pasaran mulai pertengahan tahun depan.