Benelli baru-baru ini telah memperkenalkan model adventure terbaharu Benelli BKX 250 2023, dan pada masa yang sama turut memperkenalkan model kembarnya Benelli BKX 250 S 2023. Menurut Benelli, BKX 250 S merupakan sebuah jentera yang lincah dan serba boleh, khususnya di kawasan bandar. Lebih dari itu, model tersebut juga menawarkan ciri tunggangan mantap di setiap selekoh.
Benelli BKX 250 S berkongsi enjin yang sama dengan BKX 250, iaitu dalam sesaran 249cc (single cylinder, 4-stroke, liquid cooled, 4 valves for cylinder double overhead camshaft) dengan gandingan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan 25.8hp @ 9,250rpm dengan tork 21Nm @ 8,000rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 13.5 liter, dengan jarak perjalanan lebih 400 km.
Spesifikasinya yang lain termasuklah kerangka ‘tubular steel trellis frame’ tradisional, fork depan 41 mm jenis terbalik, suspensi belakang tunggal (monoshock with progressive linkage adjustable in the spring preload), brek cakera depan 280 mm dengan kaliper empat piston dan brek cakera belakang 240 mm, panel meter digital LCD, soket pengecas USB untuk kemudahan mengecas telefon bimbit, dan sistem lampu LED sepenuhnya dengan gaya rekaan lampu depan LED yang unik dengan DRL.
Benelli BKX 250 S menggunakan tayar depan dan belakang masing-masing dalam saiz 110/70-R17 dan 150/60-R17, yang turut menyumbang tinggi tempat duduk kepada 800 mm dan jarak kelegaan bumi 175 mm. Berat keseluruhannya ialah 160 kg, dan akan berada di pasaran mulai pertengahan 2023. Adakah model ini juga akan ditawarkan di pasaran Malaysia? Sama-sama kita nantikannya.