Modenas Versys-X 250 Tourer 2023 versi CKD bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun depan

Pada bulan Oktober 2022 yang lepas bersempena dengan penganjuran MotoGP Malaysia 2022 di di Litar Antarabangsa Sepang, Kawasaki Malaysia dengan rasminya telah mempamerkan model adventure Kawasaki Versys-X 250 Tourer 2023. Model yang dipamerkan itu adalah sama dengan model di pasaran Jepun, dengan warna Pearl Matte Sage Green / Metallic Matte Carbon Gray.

Melalui pameran tersebut, Kawasaki Malaysia pada masa yang sama telah mengesahkan bahawa Versys-X 250 Tourer akan kembali ke pasaran Malaysia sebagai model tahun 2023. Model tersebut akan dipasang oleh Modenas sebagai model CKD, bermakna harga jualannya nanti akan berada pada paras lebih kompetetif. Namun tarikh pelancaran rasminya setakat ini belum diumumkan.

Untuk makluman, Modenas Versys-X 250 Tourer 2023 masih mengekalkan enjin 248cc (parallel 2-cylinder, DOHC, 4-valve) dengan kotak gear enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch, dan kuasa maksimumnya mencapai 33PS @ 11,500rpm dengan tork puncak 21Nm @ 10,000rpm. Sebagai sebuah model adventure, ianya dilengkapi tangki bahan api 17 liter untuk perjalanan lebih jauh.

Spesifikasinya yang lain adalah memuaskan, seperti brek cakera depan dan belakang dengan ABS, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, tayar depan dan belakang dengan rim lidi dalam saiz 100/90-R19 dan 130/80-R17, tinggi tempat duduk 815 mm dan berat mencapai 183 kg. Lebih dari itu, model tersebut turut dilengkapi dengan pelbagai pilihan aksesori yang bersesuaian.

Seperti mana yang dapat dilihat, Modenas Versys-X 250 Tourer dilengkapi kotak pannier plastik di bahagian kiri dan kanan belakangnya, pelindung tangan (hand guard), penutup (cover pelindung) di bahagian bawah enjin, dan sepasang lampu kabus LED yang merupakan aksesori pilihan. Harga di pasaran Jepun bersamaan RM 23k, dan mungkin harga di pasaran Malaysia nanti lebih rendah.