Adakah Kawasaki Z650RS akan dilancarkan di pasaran Malaysia?

Modenas seperti mana yang kita semua tahu, telah melancarkan model-model terbaharu keluaran Kawasaki untuk pasaran Malaysia. Bagi model-model dengan enjin di atas 650cc, Modenas melalui bahagian pengedarannya EMOS (Edaran Modenas Sdn Bhd) akan melancarkan model-model versi CBU. Model di bawah 650cc pula akan dipasang secara CKD menggunakan jenama Modenas.

Setakat ini model-model Kawasaki versi CBU yang telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia ialah Ninja ZX-10R, Ninja 1000SX, Versys 1000 SE dan Z900RS. Model-model CKD pula adalah seperti Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS. Pada tahun depan pula, antara model baharu yang bakal dilancarkan ialah Ninja ZX-25R, manakala Z650RS telah dikhabarkan masih dalam perbincangan.

Bagi penggemar model-model bergaya retro, sudah pasti pelancaran Kawasaki Z650RS versi CKD sangat dinanti-nantikan. Bagaimana pun berdasarkan laporan terdahulu, Modenas dan Kawasaki masih belum membuat keputusan rasmi sama ada akan membawa masuk model tersebut atau pun tidak. Tidak pasti kenapa, sedangkan Z650RS dijangka akan menarik perhatian ramai peminatnya.

Setakat ini jiran terdekat Malaysia iaitu Thailand telah melancarkan model Kawasaki Z650RS 2022, dengan harga jualan THB 344,600, bersamaan RM 43,777.80 untuk pilihan warna 50th Anniversary (Candy Diamond Brown). Bagi pilihan warna Metallic Spark Black, harga jualannya ditetapkan lebih rendah iaitu THB 319,400, bersamaan nilai RM 40,576.41 berdasarkan kadar mata wang semasa.

Imbas kembali spesifikasi enjin Z650RS, ianya bersesaran 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dan bertaraf Euro 5, digandingkan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch, dengan janaan maksimum 68PS @ 8,000rpm dan tork 64Nm @ 6,700rpm. Enjin berkenaan adalah sama seperti mana enjin yang melengkapi model Kawasaki Z650 dan Kawasaki Ninja 650.

Diharapkan pihak Modenas dan Kawasaki akan membuat keputusan untuk melancarkan Z650RS di pasaran Malaysia, dalam versi CKD dengan harga yang berpatutan. Berdasarkan harga di pasaran Thailand, harga jualan asas di pasaran Malaysia nanti mungkin dalam lingkungan RM 35k ke RM 40k sahaja. Pada pendapat anda, adakah model ini seharusnya dilancarkan di pasaran Malaysia?