Jentera sport touring Yamaha Tracer 9 2023 kini diperkenalkan di pasaran Eropah dengan pilihan warna terbaharu Midnight Black, di samping warna terdahulu Redline. Spesifikasi lain adalah kekal sama, seperti enjin 890cc (Liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, 3-cylinder, DOHC) yang menghasilkan 119PS @ 10,000rpm dengan tork 93Nm @ 7,000rpm, dan dipadankan transmisi enam kelajuan.
Yamaha Tracer 9 seterusnya dilengkapi fork depan USD 41 mm boleh laras sepenuhnya, bersama-sama suspensi belakang yang juga boleh dilaraskan. Brek depannya merupakan sepasang cakera 298 mm, di samping brek cakera belakang 245 mm, kedua-duanya dilengkapi ABS. Model tersebut menggunakan sepasang tayar bersaiz 17 inci, dan tinggi tempat duduk antara 810 mm – 825 mm.
Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Tracer 9 adalah seperti kerangka CF aluminum die-cast dan rim roda SpinForged yang ringan, skrin penghadang angin yang tinggi, 6-axis IMU dengan Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS), front wheel LIFt control system (LIF) dan Brake Control system (BC), cruise control, sistem lampu LED, dan panel meter 3.5 inci TFT berkembar.
Tracer 9 juga boleh dipasangkan dengan tiga beg bagasi jenis keras khusus untuk aktiviti kembara jarak jauh. Menurut Yamaha, kapasiti muatan barang-barang yang mampu dibawa mencapai angka 193 kg. Melengkapkan lagi model tersebut ialah tangki bahan api dengan kapasiti 18.7 liter, dengan jarak perjalanan untuk setangki petrol sehingga 350 km+. Tracer 9 mempunyai berat basah 213 kg.