Italjet Dragster #e01 Electric versi bebas emisi bakal dilancarkan pada tahun 2022

Bertempat di EICMA 2021 pada bulan November tahun lepas, Italjet telah mempamerkan model Dragster versi elektrik yang dikenali dengan nama Italjet Dragster #e01 Electric. Skuter bebas emisi itu dikatakan bakal dilancarkan secara rasmi pada tahun 2022, namun sehingga kini belum lagi dilancarkan. Mungkin pada hujung tahun ini, atau mungkin juga pada tahun 2023 akan datang.

Dragster #e01 Electric masih menggunakan kerangka dan badan sama seperti versi petrol, cuma sistem penjana kuasanya kini telah digantikan dengan sistem motor elektrik dan pek bateri. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh skuter versi elektrik itu mencapai 12kW, dengan tork maksimum 340Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 ke 50 km/j dalam tempoh masa hanya 2.9 saat.

Bateri yang melengkapi Dragster #e01 Electric mempunyai kapasiti maksimum 4.91kWh, yang menjamin jarak perjalanan dalam bandar (urban cycle) sekitar 180 km (90 km extra-urban and 150 km in the NEDC cycle). Tempoh masa pengecasannya ialah di antara 4.0 jam (95%) sehingga 5.5 jam (100%), dengan menggunakan pengecas 1.0kW, dan menurun kepada hanya 36 minit (100%) atau 30 minit (95%) apabila menggunakan pengecas pantas (10kW).

Setakat ini Italjet Dragster #e01 Electric hanya dipamerkan dalam skim warna tunggal putih/kuning dengan kerangka berwarna kuning, bagi disesuaikan dengan sifatnya sebagai sebuah jentera elektrik yang bebas emisi. Untuk anda, di bawah berikut ialah galeri gambar-gambar menarik model skuter elektrik tersebut, saksikan.

Artikel berkaitan : Italjet Dragster 125 dan Dragster 200 2022 kini tiba di pasaran Malaysia, jangkaan harga antara RM 30k sehingga RM 35k