Honda Wave 125i 2023 serba baharu dilancarkan di pasaran Thailand, harga bermula dari RM 6,760.24

Pasaran Thailand pada beberapa hari yang lepas telah menjadi yang pertama menerima kehadiran model Honda Wave 125i 2023 serba baharu. Model kapcai tersebut tampil dalam dua pilihan varian, dengan rim aloi dan empat pilihan warna dan dengan rim berjejari dan tiga pilihan warna. Harga jualannya pula bermula dari THB 54,300, bersamaan nilai RM 6,760.24.

Berbanding Honda Wave 125i 2021, penampilan Honda Wave 125i 2023 kelihatan hampir sama, namun sebenarnya model tersebut kini tampil dengan beberapa perubahan terkini yang cukup menarik. Antaranya ialah dibangunkan di atas kerangka baharu, mempunyai reka bentuk panel badan baharu yang lebih sporty, dan dikuasakan enjin baharu Honda Smart Engine dalam sesaran 123.94cc (4-stroke, SOHC, PGM-FI) yang ekonomi dengan transmisi empat kelajuan.

Selain itu model tersebut turut menawarkan ciri-ciri baharu seperti panel meter gabungan analog dan digital LCD, poket depan baharu di sebelah kiri, lampu belakang LED baharu (X-clusive LED Taillight), dan sistem suspensi depan dan belakang baharu. Ciri-ciri terdahulu yang tidak kurang menariknya adalah seperti lampu depan LED, sistem kunci dengan penutup dan pembuka tempat duduk, ruang barangan di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah helmet, dan tangki bahan api seluas 5.4 liter.

Di pasaran Malaysia, Honda Wave 125i 2021 telah diperkenalkan pada bulan Mac 2021 yang lalu. Oleh itu dijangkakan Honda Wave 125i 2023 serba baharu ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Dengan pelbagai naik taraf terkini yang cukup menarik dan moden, pastinya model kapcai ini akan terus mendapat tempat di hati peminat motosikal tempatan.