Untuk pasaran Thailand, Honda hari ini memperkenalkan model Honda Wave 125i 2021 terbaharu, dengan harga jualannya bermula dari 53,800 THB, bersamaan RM 7,099.92. Model kapcai tersebut didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu rim roda aloi dengan empat pilihan warna dan juga rim roda jenis berjejari dengan tiga pilihan warna.
Sama seperti model tahun sebelumnya, Honda Wave 125i dikuasakan enjin bersesaran 124.89cc (PGM-FI, SOHC, Air-Cooled) dengan padanan transmisi empat kelajuan yang lancar. Tahap kecekapan ekonomi bahan apinya mencapai angka 71.4 km bagi setiap liter petrol, sementara tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 5.4 liter.
Ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut antaranya termasuklah lampu depan LED, panel meter yang elegan dan dapat dilihat dengan jelas, sistem kunci dengan ciri pembuka tempat duduk dan penutup lubang kunci untuk tahap keselamatan yang lebih baik, serta ruang storan luas yang boleh memuatkan sebuah helmet bersaiz penuh.
Berbanding Honda Wave 125i 2021 di pasaran Malaysia yang dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang, untuk pasaran Thailand model itu hanya dilengkapi sistem brek cakera depan sahaja. Namun kelebihan model di pasaran Thailand berbanding di pasaran Malaysia ialah lampu signal belakangnya bersepadu dengan lampu belakang.