Honda ADV160 2022 kini rasmi dilancarkan di pasaran Filipina

Selepas pasaran Indonesia dan Thailand, model skuter adventure terbaharu Honda ADV160 2022 kini rasmi dilancarkan di pasaran Filipina. Model tersebut didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Matte Solar Red Metallic, Matte Pearl Crater White, dan Matte Gunpowder Black Metallic. Harganya ialah sebanyak ₱ 164,900.00, bersamaan RM 13,210.21.

Honda ADV160 dikuasakan enjin bersesaran 157cc (4-stroke, 4-valve, SOHC, liquid-cooled, eSP+) dengan kuasa maksimum 15.82hp @ 8,500rpm dan tork maksimum 14.7Nm @ 6,500rpm. Enjin itu dipadankan dengan sistem transmisi automatik V-Matic, bersama-sama sistem penghidup ACG Starter yang senyap dan Idling Stop System yang mesra alam.

Berbanding Honda ADV150, ciri-ciri baharu yang dibekalkan untuk Honda ADV160 termasuklah pengecas USB baharu, skrin penghadang angin baharu yang kini lebih tinggi, panel meter digital LED sepenuhnya baharu, ruang di bawah tempat duduk kini seluas 30 liter, HSTC (Honda Selectable Torque Control) dan pelbagai ciri-ciri menarik daripada model sebelumnya.

Antaranya seperti sistem brek cakera dengan ABS, sistem Honda Smart Key, lampu belakang LED dengan ESS (Emergency Stop Signal), Tapered Handlebar, dan suspensi belakang dengan Subtank berkembar. Honda ADV160 dilengkapi tangki bahan api 8.2 liter, dengan tahap penggunaan bahan apinya dikatakan mencapai 45.0 km/l (WMTC Test Method).