Pada tarikh 13hb. Januari 2015, PT Astra Honda Motor (AHM) dengan rasminya melancarkan model skuter terbaharu Honda Vario 150 eSP untuk pasaran Indonesia. Tampil dalam dua pilihan varian Exclusive Type dan Sporty Type, lima pilihan warna yang ditawarkan ialah Exclusive Matte Black, Exclusive Pearl White, Titanium Black, Sonic White Blue dan Bionic Red.
Honda Vario 150 eSP dilengkapi enjin bersesaran 149.3cc (SOHC, 2-valve, liquid cooled) dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, dan dipadankan dengan sistem transmisi automatik V-Matic. Enjin eSP (Enhanced Smart Power) yang serba moden itu menawarkan kuasa maksimum 12.5hp (9.3kW) @ 8,500rpm dengan tork maksimum 12.8Nm @ 5,000rpm.
Menurut AHM, enjin eSP direka untuk menghasilkan pembakaran bahan api yang sempurna, prestasi yang tinggi dan pecutan yang responsif, di samping tahap kecekapan penggunaan bahan api yang mesra alam sekitar. Untuk penghidupan enjin yang lebih senyap dan mudah, turut melengkapi model skuter tersebut ialah teknologi terkini yang canggih iaitu ACG Starter.
Honda Vario 150 eSP juga dilengkapi teknologi premium Idling Stop, yang secara automatik akan mematikan enjin jika ianya berhenti lebih dari 3 saat, dan enjin akan kembali dihidupkan selepas pendikit minyak diputarkan kembali. Teknologi tersebut membantu mencegah bahan api daripada terbuang begitu sahaja, menjadikannya lebih cekap dan mesra alam.
Berdasarkan maklumat daripada AHM, Honda Vario 150 eSP mampu memecut dari 0 ke 200 meter dalam tempoh hanya 11.94 saat, dengan kelajuan maksimumnya mencecah 102 km/j. Antara ciri-ciri menarik seterusnya yang ditawarkan oleh model skuter tersebut termasuklah Secure Key Shutter, Brake Lock, Side Stand Switch, U-Box 18 liter, dan tangki bahan api 5.5 liter.
Honda Vario 150 eSP turut dilengkapi tombol kawalan jauh dengan ciri canggih Answer Back, yang memberikan kemudahan kepada pemiliknya untuk mengetahui dengan mudah di manakah letaknya posisi skuter berkenaan. Dengan menekan tombol kawalan jauh, ianya akan memberikan respon bunyi yang kuat, sekaligus lampu signal akan turut menyala.
Untuk pemberhentian yang lebih cekap dan selamat, Honda Vario 150 eSP dilengkapi dengan sistem brek depan cakera dan belakang dram, bersama-sama ciri Combi Brake System (CBS). Di bahagian tayar, ianya didatangkan dengan tayar depan dan belakang dalam saiz masing-masing 80/90-R14 dan 90/90-R14. Akhir sekali, berat kering model skuter itu ialah 109 kg.