Model skuter serba baharu Honda Vario 160 2023 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia, pada bulan November 2022 akan datang. Setakat ini penampilan pertama model tersebut kini dapat dilihat di tapak pameran Honda di Litar Sepang, sempena dengan penganjuran acara perlumbaan MotoGP Malaysia 2022, yang berlangsung dari 21 sehingga 23 Oktober 2022.
Terkini, laman Facebook rasmi Honda Motorcycle Malaysia sebentar tadi telah menyiarkan sekeping imej teaser terbaharu, yang memaparkan bahagian depan model tersebut. Pilihan warna yang dipaparkan juga sangat menarik iaitu merah terang, dengan corak grafik di sisi yang sporty. Untuk pasaran Malaysia, varian yang akan ditawarkan nanti dikhabarkan varian ABS.
Varian ABS merupakan varian teratas, dilengkapi dengan sistem brek cakera depan dan belakang, lengkap dengan sistem ABS Single Channel. Bagi varian CBS pula dengan brek cakera depan dan brek dram belakang, dengan sistem brek CBS, tidak pasti sama ada ianya akan turut dilancarkan. Setakat ini, kita tunggu pelancaran rasmi Honda Vario 160 2023 pada bulan depan.