Honda EX5 Edisi Terhad 2022 diperkenalkan, hanya 2,000 unit, harga asas RM 5,198.00

Boon Siew Honda hari ini secara rasminya melancarkan model kapcai Honda EX5 Edisi Terhad 2022, dalam jumlah 2,000 unit sahaja untuk pasaran Malaysia. Model berstatus legenda itu ditawarkan dengan harga jualan asas RM 5,198.00 (tidak termasuk insuran, cukai jalan dan pendaftaran), dan jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km perbatuan.

Honda EX5 Edisi Terhad 2022 tampil sporty dan bergaya, dalam pilihan warna tunggal  emas (Extravagant Gold Metallic) bersama-sama rim roda jenis berjejari @ rim lidi, juga berwarna emas. Menurut Boon Siew Honda, pelancaran model tersebut adalah sebagai tanda peringatan khas sempena ulang tahunnya yang ke-35. Honda EX5 diperkenalkan di pasaran Malaysia sejak tahun 1987 yang lalu, dan ianya kekal popular sehingga kini.

Honda EX5 Edisi Terhad 2022 ini dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 109.17cc (satu silinder, penyejuk udara, SOHC, 2 injap), dengan kuasa maksimumnya 8.54hp @ 7,500rpm dan tork 8.62Nm @ 5,500rpm. Enjin tersebut turut dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik PGM-Fi yang menjimatkan petrol dan lebih mesra alam sekitar.

Untuk peminat setia Honda EX5, model Edisi Terhad atau Limited Edition dalam pilihan warna emas yang begitu elegan dan menawan ini pastinya akan menjadi rebutan ramai. Namun tempahan perlu dibuat dengan pantas sebelum kehabisan stok. Sebagai model legenda yang masih lagi bertahan sehingga kini, Honda EX5 akan terus kekal relevan.