Model adventure Kawasaki Versys-X 250 Tourer 2023 untuk pasaran domestik Jepun ini baru saja diperkenalkan, namun jualan rasminya hanya akan bermula pada tarikh 15hb. Oktober 2022 akan datang. Untuk musim 2023, model tersebut hanya menerima pilihan skim warna tunggal Pearl Matte Sage Green / Metallic Matte Carbon Gray sahaja.
Selain daripada perubahan warna terbaharu, Kawasaki Versys-X 250 Tourer 2023 kekal dengan spesifikasi seperti mana model tahun sebelumnya. Antaranya termasuklah enjin 248cc (parallel 2-cylinder, DOHC, 4-valve), kotak gear enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch, dan kuasa maksimum 33PS @ 11,500rpm dengan tork 21Nm @ 10,000rpm.
Model adventure itu seterusnya dilengkapi panel meter digital dan analog, tangki bahan api 17 liter, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, tayar depan dan belakang dengan rim lidi dalam ukuran 100/90-R19 dan 130/80-R17, tinggi tempat duduk 815 mm dan berat mencapai 183 kg.
Sebagai sebuah model kembara, ianya dilengkapi kotak pannier plastik di bahagian kiri dan kanan belakangnya, pelindung tangan (hand guard), penutup atau pelindung pada bahagian bawah enjin, dan sepasang lampu kabus LED seperti mana yang dipaparkan di dalam setiap gambar di bawah (lampu kabus LED itu merupakan aksesori pilihan).
Untuk pasaran Jepun, Kawasaki Versys-X 250 Tourer 2023 ini ditawarkan dengan harga jualan sebanyak 726,000 Yen, bersamaan nilai RM 23,088.34 mengikut kadar semasa. Untuk pasaran Malaysia pula, model yang pernah ditawarkan ini mungkin akan kembali tidak lama lagi, di bawah edaran pengedar baharu Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS).
Sumber gambar : kawasaki1ban.com