Honda Dax ST125 2023 diperkenalkan di pasaran Eropah

Pada Mac 2022 yang lepas, model kompak bergaya retro iaitu Honda Dax ST125 2023 dengan rasminya diperkenalkan untuk pasaran Eropah. Ianya menandakan kepulangan kembali model tersebut di pasaran Eropah selepas 41 tahun, bagi menggantikan model generasi sebelumnya iaitu Honda Dax ST50 dan Honda Dax ST70 (1969 – 1981).

Honda Dax ST125 2023 merupakan sebuah model serba baharu sepenuhnya, yang kini tampil lebih moden. Ianya merupakan kembar kepada dua lagi model kompak keluaran Honda, iaitu Honda MSX125 Grom dan Honda Monkey 125. Sama seperti kedua-dua model tersebut, Honda Dax ST125 turut dilengkapi enjin 124cc yang bertaraf Euro 5.

Menurut Honda, nama Dax diperolehi daripada nama anjing Dachshund, yang memiliki sepasang kaki yang pendek dan badan yang panjang. Di pasaran Eropah, pilihan warna yang tersedia untuk Honda Dax ST125 ialah Pearl Nebula Red dan Pearl Cadet Grey, lengkap dengan logo klasik Honda Wing dan juga logo anjing yang menjadi maskotnya.

Honda Dax ST125 dikuasakan enjin 124cc (Air-cooled SOHC 4-stroke 2-valve) dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, seterusnya dipadankan kotak gear empat kelajuan. Enjin yang cekap dan ekonomi itu menghasilkan kuasa maksimum 9.25hp @ 7,000rpm dengan tork setinggi 10.8Nm @ 5,000rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 3.8 liter.

Melengkapkan lagi spesifikasi model tersebut ialah fork depan USD, penyerap hentakan belakang berkembar, brek cakera depan dan belakang dengan ABS satu saluran, tinggi tempat duduk 775 mm, tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-R12 dan 130/70-R12, paparan panel meter digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, dan berat 107 kg.