Honda Monkey 125 2022 diperkenalkan di pasaran Eropah, enjin kini patuh piawaian Euro 5, transmisi lima kelajuan

Honda Monkey 125 model tahun 2022 kini secara rasminya telah diperkenalkan untuk pasaran Eropah. Antara naik taraf terbaharu yang diterima oleh model berkenaan ialah enjinnya kini telah patuh piawaian emisi Euro 5, dilengkapi transmisi lima kelajuan, naik taraf sistem suspensi belakang dan pengenalan warna baharu Pearl Glittering Blue.

Honda Monkey 125 terbaharu dikuasakan enjin 124cc (air-cooled, SOHC, 4-stroke, 2-valve) yang dibawakan daripada model Honda MSX125 Grom, dan menjana 9.25hp @ 6,750rpm dengan tork 11Nm @ 5,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan transmisi lima kelajuan, bagi menggantikan transmisi empat kelajuan pada model sebelumnya.

Operasi klac manual pada model kompak tersebut dikatakan sama seperti pengalaman menunggang motosikal yang lebih besar. Kelajuan maksimumnya mencapai 91 km/j, di samping menawarkan tahap ekonomi yang cekap pada kadar 1.5 liter / 100 km (WTMC Mode). Tangki bahan apinya pula menawarkan kapasiti maksimum sehingga 5.6 liter.

Honda Monkey 125 2022 dilengkapi fork depan USD dengan travel 100 mm, suspensi belakang dengan ciri baharu iaitu spring dua tahap dan getah damper yang diperbaiki, dan diikuti tayar depan dan belakang masing-masing bersaiz 120/80-12 dan 130/80-12. Semua spesifikasi tersebut membolehkan kelegaan bumi berada pada tahap 175 mm.

Ciri keselamatan pada model tersebut disempurnakan oleh brek cakera depan 220 mm dan cakera belakang 190 mm, dengan pengurusan sistem ABS satu salurannya adalah berasaskan teknologi IMU. Sistem lampu LED dan panel meter digital LCD, serta kunci dengan ciri ‘answer back’, melengkapkan lagi ciri-ciri menarik pada model tersebut.

Honda Monkey 125 2022 mempunyai tempat duduk yang selesa, dengan ketinggiannya berada pada paras hanya 775 mm. Berat keseluruhannya pula mencapai angka 104 kg (kerb weight). Untuk pasaran Eropah, model lincah itu tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Pearl Glittering Blue (warna baharu), Banana Yellow dan juga Pearl Nebula Red.