Projek Gabit27 daripada Gracshaw Malaysia, inisiatif untuk membantu ikon permotoran tempatan Gabit Saleh

Selayaknya digelar sebagai salah seorang ikon permotoran tempatan, Gabit Saleh atau nama sebenarnya Muhammad Habibullah bin Mohd Saleh, ketika ini sedang menderita penyakit barah hidung yang kronik pada tahap empat. Penyakit yang dihidapi beliau itu dikesan dan disahkan oleh pegawai perubatan pada bulan Disember 2021 yang lalu.

Gabit sebelum ini pernah menjadi juara dalam perlumbaan supermoto dan motocross dalam arena perlumbaan tempatan, serta merupakan juara dalam perlumbaan FIM Asia Supermoto Championship 2016 & 2018. Kini Gabit sedang menjalani rawatan intensif di hospital, melalui sesi rawatan radioterapi dan kimoterapi yang mengambil masa lama.

Bagaimanapun, kos rawatan susulan yang diterima oleh Gabit sememangnya tinggi dan telah mencecah puluhan ribu ringgit. Rawatan susulan itu sangat penting agar penyakit kansernya tidak merebak. Gabit tidak lagi mampu berlumba, seterusnya menjejaskan pendapatannya bagi menampung kos rawatan penyakit dan juga menyara keluarga.

Gabit merupakan suami kepada Nurashyidahani binti Mohd Rashid, serta bapa kepada tiga orang anak yang masih kecil yang berusia antara 8, 5 dan 3 tahun. Sememangnya Gabit yang pernah mengharumkan nama negara di pentas dunia, memerlukan bantuan kewangan yang mencukupi, agar penyakit kanser hidung yang dihidapi beliau sembuh.

Oleh itu Gracshaw Malaysia, pengeluar helmet berprestasi tinggi di pasaran tempatan, telah menganjurkan Projek Gabit27 demi meringankan beban kewangan Gabit. Melalui Projek Gabit27, Gracshaw telah mengeluarkan sebuah helmet yang didedikasikan khas untuk Gabit, yang dikenali dengan nama Gracshaw Gennex Gabit27 Special Edition.

Dengan setiap pembelian helmet Gracshaw Gabit27 yang didatangkan dengan empat pilihan warna menarik itu, pada harga hanya RM 380.00, setiap RM 75.00 daripada nilai pembelian tersebut akan disalurkan terus kepada Gabit. Jadi kepada semua peminat dunia permotoran tempatan, ayuh kita dapatkan segera helmet Gracshaw Gabit27 ini.

Apa yang diharapkan kini ialah dengan sedikit sokongan dan juga sumbangan daripada Gracshaw Malaysia dan kita semua, sekurang-kurangnya akan dapat meringankan lagi beban yang sedang ditanggung oleh ikon permotoran tempatan Gabit dan keluarganya. Semoga Gabit akan kembali sembuh seperti sedia kala dalam tempoh masa terdekat.

Setiap helmet Gracshaw Gabit27 boleh didapati di seluruh wakil penjual sah di seluruh Malaysia. Atau pun para pelanggan juga boleh membeli helmet itu secara terus melalui laman sesawang Gracshaw Malaysia, Facebook Gracshaw Malaysia, atau daripada laman jual beli popular Shopee melalui pautan rasmi di sini Gracshaw Official Store.