Baru-baru ini peminat motosikal tempatan telah dikejutkan dengan harga jualan sebuah model Yamaha RX-Z terpakai, dengan harga mencecah RM 180k. Malah sebelum itu seorang pemilik Yamaha RX-Z Catalyzer berwarna hitam telah berjaya menukarkannya dengan sebidang tanah lot, dengan anggaran harga tanah itu dikatakan sekitar RM 70k.
Menurut laporan akhbar Kosmo, pemilik Yamaha RX-Z itu yang dikenali dengan nama Nik Mohd. Zulkiflee Lee, telah menulis catatan di dalam laman FB Kelab Jual Beli RXZ pada pertengahan bulan Ogos 2022 yang lalu, mengenai penjualan motosikal tersebut. “2022 sejarah, RXZ catal ‘swap’ dengan tanah lot, Alhamdulillah rezeki,” kata beliau.
Walaupun ramai peminat motosikal tempatan yang seakan-akan tidak percaya dengan berita penjualan Yamaha RX-Z secara ‘swap’ dengan tanah lot itu, namun ianya benar-benar berlaku. Pembeli motosikal itu pula dikatakan telah lama mengidamkan motosikal bertaraf legenda itu, sehingga sanggup menukarkannya dengan sebidang tanah lot.
Seperti mana kita semua sedia maklum, Yamaha RX-Z dikatakan sebuah model yang bertaraf ‘rare’, walaupun sebenarnya kelibat model itu boleh dilihat dalam jumlah yang begitu banyak sehingga puluhan ribu unit, contohnya ketika berlangsung program RX-Z Members 4.0 di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.
Sumber gambar : Kelab Info Malaysia FB