WMoto Xtreme 150i Special Edition 2022 dengan warna baharu Vibrant Green kini di pasaran tempatan

Model skuter WMoto Xtreme 150i 2021 telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Julai tahun lepas. Kini model berkenaan tampil dalam versi Special Edition untuk musim 2022, dengan pilihan warna Vibrant Green yang cukup menyerlah. Menurut info di dalam Mudah.my, harga jualan asasnya ditetapkan sebanyak RM 10,688.00 sahaja.

Sama seperti versi standard, WMoto Xtreme 150i Special Edition 2022 dikuasakan enjin bersesaran 149.3cc (silinder tunggal, empat lejang, SOHC, sistem sejukan cecair) yang patuh piawaian emisi Euro 4, dan digandingkan dengan sistem transmisi automatik CVT yang lancar. Angka kuasanya ialah 12.1hp @ 8,500rpm dan tork 11.8Nm @ 5,000rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model skuter adventure ini termasuklah tangki bahan api 11 liter, teknologi start-stop untuk penjimatan petrol, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock boleh laras, jarak kelegaan tanah 180 mm, sistem lampu LED sepenuhnya dengan ciri DRL, meter digital LCD, visor angin boleh laras, dua port pengecas iaitu jenis USB dan soket berkuasa 12V, dan juga ruang barangan yang luas.

Lebih dari itu, WMoto Xtreme 150i didatangkan dengan sistem brek ABS dua hala yang lebih cekap dan selamat dalam pelbagai situasi kecemasan. Ini membolehkan model itu diberikan penarafan lima bintang dan diiktiraf sebagai motosikal paling selamat melalui Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP) bagi motosikal dengan sistem ABS.